Thursday, June 28, 2012

Kumbang Dan Bunga




"Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku." (Riwayat Muslim no. 2491)
Membina ikatan persis membina sebuah mahligai terindah, tapaknya perlu kukuh atas landasan kecintaan, dilengkapi batu bata kepercayaan dan diperteguh tiang kasih sayang. Tampak cantik dihias rona bebunga di taman, saat mentari pagi menyimbah cerlang sinarnya. Si Tiung singgah mengalun, berkicauan lagu cinta, saksi romantisnya jiwa. Namun, membinanya bukanlah semudah menyaksikannya, nampak kirana di mata tetapi memerlukan kudrat dan keringat dalam memacunya.
"Lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang baik."
Dalam memateri sebuah ikatan, elemen setia dan sedia menjadi perlambangan sejauh mana kekuatan sebuah ikatan. Berseminya ikatan tanpa kesetiaan, ibarat menunggu rumah ditelan rebah. Bertautnya ikatan tanpa kesediaan, ibarat menanti mahligai musnah berkecai.
Saat memilih untuk membina ikatan, eloklah diteliti apakah kita telah melengkapi keduanya.Bersetia menjalin cinta dan menongkah badai kehidupan bersama. Tidak pernah goyah diduga godaan, tidak pernah rebah diuji cabaran apatah lagi gundah disuntik rintangan. Hidup bersama rencahnya berjuta. Tika itulah kesetiaan benar-benar memainkan peranan.
Apabila lengkap elemen kesetiaan, lihatlah pula kepada elemen kesediaan. Usah sekadar terpesona dengan lafaz dan janji di bibir manis, namun intailah kesediaan menerima yang tak pernah gerimis. Ilmu agama disisip kemas di dada, agar hasutan syaitan dan iblis bisa ditepis. Sedia membimbing dan dibimbing. Nafsu amarah bukan wasilah melampiaskan kemarahan bukan pada tempatnya. Toleransi sebagai benteng utuhnya rukun sebuah ikatan.
''Sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita solehah''
Ketahuilah wanita solehah, bahawa dirimu amat bernilai. Selautan emas waima segunung permata bukan tandinganmu kerana dirimu jauh lebih tinggi nilainya di kaca mata Islam. Usah mudah memberi cinta, kelak binasa jiwa. Sebaliknya, ujilah si dia agar simpulan kasih tidak mudah terungkai, ikatan sayang tidak mudah bercerai.
Jika ingin memilih membina ikatan, maka bersiagalah kerana era penuh air mata dan duka akan menantimu. Kuatkanlah keteguhan nalurimu agar segala yang ditempuhi mendapat inayah-Nya. Ingatlah bahawa mencari bahagia itu tidak ubah seperti menanam si mawar berduri. Sebaik ditanam tidak terus berputik bunga kirana, tetapi tumbuh dahulu duri yang berbisa.
Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Manusia yang utama adalah orang mukmin yang alim. Jika diperlukan dia diberikan manfaat, jika tidak diperlukan, dia pun kaya dengan dirinya sendiri."
Bagi arjuna, keperkasaan bukanlah bukti kelelakian sebenarmu. Layar bahtera akan dapat terus menyusur pantai impian, walau badai merempuh apabila mahligai ikatan dinakhodakan oleh lelaki yang beriman. Bisa melindungi dan membajai kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Menjadi pemimpin terulung kebanggaan pasangan, menyalur bimbingan dan pendidikan kepada ahli keluarga dan tidak merelakan diri menjadi dayus sehingga di akhirat kelak mendapat celaka. Bijaksana dalam merencana keputusan agar tidak menyinggung hati dan perasaan. Rasulullah menjadi tauladan dalam menjadi suami idaman. Suami ibarat mentari, memberi cahaya dan kehangatan. Isteri bagai bulan, cantik dan indah dipandang.
''Selembar benang berkait, akhirnya berpakai jua, setapak kaki berdikit, akhirnya berdiri juga''
Kepada sesiapa yang merasa diri masih bergelut dalam kekurangan dan belum memenuhi elemen-elemen ini, jadi bermulalah sekarang. Andai diri tidak setia, belajarlah memahami hakikat kesetiaan, signifikannya dalam ikatan.
Andai diri tidak sedia, namun mengharap bunga di taman larangan, penuhilah pengetahuan agama di dadamu. Kalungkanlah di jiwamu rasa tanggungjawab walaupun rasa jahil membelenggumu. Muhasabahlah diri agar terbinanya hubungan berkekalan hingga penghujungnya.

Lelaki Soleh Idaman Wanita !

Tatkala seorang jejaka memandang cermin, apa yang selalu difikirkan adalah "handsome kah aku?", "adakah otot-otot aku semantap Arnold Schwarzenegger?" dan seumpamanya.
Apa kata selepas ini, kita bertanyakan soalan berikut ketika memandang cermin :
1. Adakah aku sentiasa taat kepada Allah dan Rasullulah?
2. Adakah jihad Fisabilillah adalah matlamat dan program hidup aku?                          
3. Adakah mati syahid adalah cita-cita hidup tertinggi aku?
4. Selama ini, adakah aku sabar dalam menghadapi ujian dan cabaran daripada Allah?
5. Ikhlaskah aku dalam beramal?
6. Adakah kampung akhirat menjadi tujuan utama hidupku?
7. Takutkah aku kepada ujian Allah dan ancaman-Nya?
8. Adakah aku selalu memohon ampun atas segala dosa-dosaku?
9. Adakah aku zuhud dengan dunia tetapi tidak meninggalkannya?
10. Adakah solat malam menjadi kebiasaanku?
11. Adakah aku bertawakal kepada Allah atau aku kerap mengeluh?
12. Adakah aku kerap memberikan infaq di waktu senang mahupun sempit?
13. Berusahakah aku untuk menerapkan nilai kasih sayang sesama mukmin dan ukhwah di antara mereka?
14. Kuatkah aku amar maaruf dan nahi munkar?
15. Adakah aku sangat kuat memegang amanah, janji dan kerahsiaan?
16. Adakah aku seorang pemaaf?
Andai jawapan kepada persoalan-persoalan di atas adalah positif belaka, maka anda memiliki ciri-ciri lelaki soleh idaman wanita!

Mengapa Selalu Memikirkan Tentang Cinta Dan Hati ?

Hati dan perasaan cinta merupakan satu fitrah insaniah tidak kira sesiapapun. Manusia perlukan cinta dan memerlukan kasih sayang. Perasaan untuk mencintai kepada lawan jantina memang tidak dinafikan, ia merupakan sesuatu yang perlu bagi setiap manusia.
Tapi, mengapa kita terlalu sibuk memikirkannya?
Adakala setiap masa dan waktu kita fikirkannya,
Sampai satu tahap, jika sentiasa memikirkan hal ini, kita pasti akan terjebak dalam "couple".Bukankah couple itu sebuah jalan yang penuh dengan liku-liku yang salah?
Jika anda masih belum mampu, jangan sekali bermain dengan perasaan. Ia tidak akan membawa kemana-mana. Perjalanan masih terbentang jauh.
Jodoh?
Bukankah Jodoh itu telah ditetapkan oleh-Nya?
Anda punyai misi untuk islam. Mengapa mudah goyah kepada perasaan dan cinta. Ramai yang mengatakan "aku mahu berkahwin, bernikah" tetapi dimanakah persediaan kita? untuk menjadi isteri kepada seorang suami atau suami kepada seorang isteri?
Ia bukanlah sebuah perkara yang mudah. Adakah ia hanya sebuah keseronokan? Untuk merealisasikan mimpi indah? Tidak. Ia satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah SWT suatu ketika nanti. Adakah kita telah melaksanakan tugas sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya
Mari Menjadi Hamba kepada pencipta
 Menjadi sebaik-baik hamba memerlukan pengorbanan bukan hanya pada kata-kata. Jika kita imbas kembali bagaimana sahabat-sahabat rasulullah yang sentiasa memperbaharui dan meningkatkan Iman mereka. Keyakinan mereka adalah di tahap yang tinggi. Mereka melihat syurga di hadapan mereka. Amal yang mereka lakukan adalah semaksimum yang mungkin.
Bukan seperti kita? Mengimpikan syurga tetapi kita hanya bermimpi tanpa mempertingkatkan amal. Sedarlah! Hidup ini satu perjuangan. Jadi, berusahalah Untuk Menyihatkan IMAN!
Jangan terlalu fikirkan cinta
Cinta dan perasaan satu keperluan. Tetapi kita mesti pandai menguruskannya. Bercintalah tetapi melalui jalan-jalan yang Islam telah tunjukkan. Buat persediaan, dan lakukan ta'aruf  dan seterusnya. Islam itu dipenuhi cinta dan kasih sayang, tapi banyak cinta dan kasih sayang yang menyimpang dari islam kerana kita tidak menghayati Islam sepenuhnya.
Jom sama-sama kita mencari cinta dan RedhaNya.
Lihatlah cinta yang sebenar ini!
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya ALLAH TA'ALA berfirman pada Hari Kiamat kelak; mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-KU? Hari ini KU-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-KU."

Yang Lebih Indah Daripada Cinta


Telah  ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini. Masakan begitu, detik hati kita.
Teringat kembali detik mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia... Ah, gembiranya saat itu. Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata.
Musim berlalu. Alam rumah tangga yang kita bina bersamanya menongkah arus ujian. Pelbagai suka duka, pahit manis diharungi bersama. Kata orang, semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang menggoyang. Maksudnya, semakin tinggi puncak kehidupan ini kita daki maka semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Warna sebenar (true colours) kita dan pasangan kita akan terserlah. Pada ketika itu segala yang pahit, masam, busuk akan terserlah...

Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh tanggung jawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. "Perasaan" adalah hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat, pastikan perasaan "bekerja" untuk kita, bukan sebaliknya.
Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga, tanggung jawab akan datang menyelamatkan "pertunjukan" dengan peranan yang lebih berkesan.
Cuba bayangkan, ketika isterimu hamil, muntah-muntah, rambut kusut dan badannya tidak terjaga lagi kerana menanggung derita tempoh mengandung, ketika mulutnya mula becok mengasuh dan mengelolakan anak yang berderet selang setahun, atau ketika suamimu termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin meningkat atau keceriaannya semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertali arus... Bagaimana? Masih berserikah wajah si dia seperti yang kita lihat pada malam pertama?
Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut dan kita sudah mencecah usia senja. Pada saat itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan malam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita selamat, isteri pula yang menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya menepati jadual, atau lebih "ekstrem" lagi terpaksa menyuap makan-minumnya ketika dia sudah terbaring kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri?
Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang hebat ialah cinta yang ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi bukan untuk menerima. Lafaz, "aku terima nikah," oleh kita sebagai suami musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Kita memikul tanggung jawab untuk memberi kasih-sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan segalanya...
Walaupun begitu bagi si isteri... penerimaan mu sebagai pasangan hidupnya bukan ertinya untuk kau menerima tetapi untuk memberi – memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa raga mu untuknya. Kau telah membuat satu aku janji yang paling suci dan tinggi dalam hidup mu, bukan untuk seseketika tetapi untuk selama-lamanya. Bukan hanya ketika suami mu bertubuh kekar, tetapi sehinggalah dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!
Itu baru ujian luaran. Belum lagi ujian dalaman yang berbentuk cemburu, jemu, marah, curiga dan lain-lain "virus" perhubungan. Berapa banyak hubungan yang terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan.
"Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?"
"Tergodakah dia bila di belakangku?"
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.
Pernah anda lihat si suami yang "diganggu" panggilan telefon oleh isterinya setiap selang 15 minit sekali? Aduh rimasnya. Betulkah itu kerana cinta atau kerana curiga. Pada hal cinta itu membebaskan bukan mengawal. Jika kita benar cintakan suami atau isteri, dan cinta itu ditunjangi oleh kepercayaan, kita tidak akan mengawalnya bahkan kita akan membebaskannya. Terbanglah ke mana kau suka, insya-Allah kau akan kembali jua. Justeru hati mu... tetap di sini, di hati ku!
Ada si suami yang curi-curi memeriksa "inbox" dan "sent" telefon bimbit isteri kalau-kalau adaSMS yang mencurigakan? Ada pula isteri yang menyelongkar setiap inci kereta suami takut-takut ada "kesan-kesan" tinggalan perempuan lain. Pernah saya dengar ada suami yang memusnahkan segala resit, bil, surat-surat kecil, dan apa jua dokumen-dokumen picisan dalam poket dan beg duitnya sebelum pulang ke rumah takut "disoal siasat" oleh isterinya?
"Ini bil makan, abang makan dengan siapa?"
"Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?"
"Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?"
Itulah soalan-soalan isteri yang menyebabkan suami terkial-kial menjawabnya. Pada suami semua itu remeh temeh, tetapi tidak pada isteri yang tidak percaya, semua itu boleh dijadikan modal "perang besar". Kalau si suami disyaki ada di tempat yang tidak sepatutnya ada atau pada waktu yang tidak sesuai, siap sedialah menghadapi hukuman jika gagal memberikan"alibi"!
Itulah gara-gara sama ada isteri tidak mempercayai suami atau suami tidak mempercayai isteri atau kedua-duanya sudah saling tidak mempercayai! Bukan kerana tidak ada cinta tetapi kerana hadirnya sebuah curiga akibat hilang rasa percaya. Sebab itu mengikut kajian, penceraian banyak berlaku bukan sahaja pada pasangan yang sudah kehilangan cinta tetapi pada pasangan yang terlalu cinta.
Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar mengenalinya. Jika disebabkan faktor yang pertama, jalan terbaik ialah kenalilah pasangan anda dengan lebih mendalam. Berkenalan kali pertama dahulu (seawal usia perkahwinan) adalah untuk menumbuhkan bibit-bibit cinta. Tetapi perkenalan kali kedua, ketiga dan seterusnya yakni setelah usia perkahwinan meningkat adalah untuk menyuburkan bibit-bibit percaya. Adalah salah sekali kalau kita beranggapan yang kita telah kenal pasangan kita dan terus menghentikan proses perkenalan. Sedangkan proses perkenalan dalam rumah tangga adalah "on going" (berterusan) sifatnya.
Kenal itu sangat berkait dengan rasa cinta. Dan cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina atas perkenalan bukan sahaja dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya akan kita cuba sama-sama atasi dan jika tidak, kita terima seadanya kerana kita sedar kita berkahwin dengan manusia bukan malaikat.
Kita akan terus mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.
Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya, kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.
Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita.
"Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama."
"Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu..."
Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Wahai suami, wahai isteri... sekali lagi ku tegaskan inilah oksigen cinta. Dan bagi semua yang masih belum mengenal cinta (antara lelaki dengan wanita),  burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai... itulah dipercayai!
Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu  mendapat gelar  "Al Amin" (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?



Warkah Buatku..


Assalamualaikum...
Apa khabar bidadariku? Semoga bakal isteriku ini sentiasa tenang berada dalam pemeliharaan Allah S.W.T. Amin Ya Rabbal alamin..
Bidadariku,
Tahukah dikau yang aku sentiasa merinduimu? Aku sentiasa berdoa agar dipertemukan denganmu kelak dan sesunggunhnya Allah itu maha adil lagi maha mengetahui. Dia telah menemukan aku denganmu.. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna di muka bumi ini, namun aku dapat merasakan bahawa engkaulah gadis solehah yang aku cari-cari selama ini.
Sayangku,
Sesungguhnya aku amat tertarik akan keindahan akhlak peribadimu dan itu amat membuatkan hatiku berdebar saat bertemu denganmu walaupun kau sentiasa menundukkan pandangan mata. Aku masih dapat melihat terpancarnya sinar nur dari wajahmu. Aku tidak memandang pada kejelitaan.. walau kurangnya paras rupamu, aku tetap bertekad ingin menyuntingmu buat menjadi isteriku dunia dan akhirat.
Wahai bidadariku,
Aku tidak sabar untuk menjadi suamimu.. merawat luka dan menghiburkan hatimu agar dikau sentiasa bahagia dalam mencari redha Ilahi, ku juga ingin merasa belaian mesra dari mu. Kerna itu aku sentiasa berdoa agar dikau menjadi pendampingku.
Kekasihku,
Aku ingin sentiasa membisikkan kalimah-kalimah suci di telingamu.. agar dikau dapat merasakan besarnya keagungan Allah s.w.t. Ku ingin mengejutkanmu saat malam yang dingin untuk sujud menyembah Ilahi.. Aku ingin membimbingmu dan aku juga mahu agar dikau sentiasa bersedia untuk menegur segala kekhilafanku.
Buat bakal isteriku,
Redha dan terimalah atas apa-apa sahaja ketentuan-Nya. Kerana Dia lebih mengetahui.. Jika benar kau adalah jodohku dan bakal calon bidadariku, aku memohon pada Ilahi agar dipercepatkan ijab dan kabul ini agar aku sah menjadi suami yang dapat mengimamkan solatmu..
Sekian sahaja warkahku ini..
Hanya satu pesananku. Jika kau mencintaiku, cintailah aku kerana Ilahi. Kerana aku hanya manusia biasa yang tidak punya apa-apa melainkan sekeping hati yang ikhlas mencintaimu kerana Allah..
Ikhlas daripada bakal suamimu. :)



Mengapa Wanita Memerlukan lelaki



Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua, rapuh dan mati.
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...

Ketakutan Dalam Minda Adalah Lebih Besar Daripada Realiti

Takut – ini adalah satu perkataan yang hampir tidak ada dalam kamus orang yang berjaya. Takut ini boleh muncul dalam banyak keadaan, sebagai alasan ataupun sebagai sebab untuk mengelak dari melakukan sesuatu yang tidak biasa kita lakukan.

Ramai mungkin tidak sedar, ketakutan yang sebenar adalah jauh jauh jauh lebih kecil daripada realiti sebenar.
Contohnya, saya sendiri mempunyai kebodohan ini suatu masa dahulu. Sewaktu saya diminta untuk berucap di hadapan orang ramai. Saya mula membayangkan ketakutan yang menghantui saya.
Pada mulanya ia hanya kerana saya tidak tahu bercakap, kemudian otak mula memproses ketakutan ini. Saya mula melihat saya berucap di hadapan orang ramai, dan tiba-tiba ada orang bangun dan tidak puas hati dengan apa yang saya cakap, kemudian ada orang lain mula membantah, kemudian ada orang yang membaling telur busuk tepat ke muka saya, dan kemudian ada orang membaling kerusi dan beredar dari dewan tempat saya berucap dan kemudian fantasi ini berterusan sehingga saya akhirnya saya menjadi lebih takut.
Namun dalam realiti sebenar, tidak ada apa yang pernah berlaku sebegini. Saya bernasib baik kerana saya melihat ramai orang suka apabila saya berucap. Saya memberi ucapan dalam kursus saya dari pagi hingga ke petang, semua orang tekun mendengar sambil mengambil nota dan ramai yang memuji juga.
Ini memberi motivasi kepada saya. Apabila saya melihat kembali mengingati situasi lima (5) tahun yang lepas, saya mula sedar, bahawa kebodohan saya pada waktu itu tiada asas langsung lagi pula kita dalam masyarakat yang beradap sopan. Tidak mungkin ada orang akan melakukan seperti yang saya bayangkan. Paling kuat pun, orang akan berbisik kepada kita tentang kesalahan yang kita lakukan. Biasanya, ini pun tidak.
Contoh yang kedua pula, katakan anda seorang peniaga yang baru membuka sebuah kedai dan anda tidak mempunyai lesen perniagaan.
Orang yang takut akan mula membayangkan ada penguatkuasa SSM akan menyerbu kedainya, kemudian mereka akan menyita semua barangan dalam kedai itu, kemudian mereka akan mengari dan membawanya ke lokap, kemudian keluar dalam muka depan surat khabar "Peniaga Tanpa Lesen Ditahan", kemudian semua kawan-kawan akan mencemuh, keluarga akan mengasingkan diri, setiap orang di jalanan akan meludah sewaktu melihat anda...
Namun realiti adalah jauh berbeza. Kebarangkalian anda didatangi penguatkuasa SSM adalah sangat-sangat kecil. Mereka ada lebih banyak kerja untuk dibuat daripada menanggap budu kecil yang baru mula berniaga seperti anda.
Sekiranya mereka datang sekalipun, mereka hanya akan memberi amaran biasa kepada anda dengan menyatakan prosedur-prosedur yang perlu dilakukan.
Jadi realiti tidaklah seperti yang anda bayangkan seperti sebelum ini. Nyata realiti hanya 0.00001 % dari apa yang anda bayangkan.
Orang yang berjaya mengatasi ketakutan ini adalah samada orang yang berjaya dalam pelbagai bidang ataupun pencuri dan perompak. Dua golongan ini berjaya mengatasi ketakutan yang ada dan mereka mampu lakukan sesuatu yang luar biasa.
Anda tidak perlu menjadi perompak atau pencuri untuk menjadi insan luar biasa. Sekadar menjadi orang yang tidak takut adalah wajib untuk anda berjaya. Namun sekiranya anda tidak mengatasi masalah ini. Anda Tidak Akan Berjaya.
Jadi sentiasa ingat, ketakutan sebenar adalah jauh lebih kecil daripada ketakutan yang anda bina dalam minda anda.
Jadi berhentilah memberi alasan, mulakan apa yang ingin anda buat dalam apa bidang sekalipun. Mulakan tanpa rasa takut.

award sayer :)

create your own banner at mid fashion shop!

Lurve This Song :)