Telah ku katakan sebelumnya, dipercayai lebih
utama daripada dicintai. Dan itulah juga ungkapan yang kerap diulang-ulang oleh mereka
yang arif tentang cinta. Ramai yang kurang bersetuju dengan kata-kata ini.
Masakan begitu, detik hati kita.
Teringat kembali detik
mengetahui cinta kita telah diterima oleh si dia... Ah, gembiranya saat itu.
Dunia ini seakan tersenyum. Bulan, mentari dan bintang seakan turut bersama
kita meraikan detik yang sangat indah itu. Bukankah dicintai lebih utama
daripada dipercayai? Hati kita berkata-kata.
Musim berlalu. Alam rumah tangga yang kita bina bersamanya
menongkah arus ujian. Pelbagai suka duka, pahit manis diharungi bersama. Kata
orang, semakin tinggi pokok yang kita panjat, semakin kuat pula angin yang
menggoyang. Maksudnya, semakin tinggi puncak kehidupan ini kita daki maka
semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Warna sebenar (true colours) kita dan pasangan kita
akan terserlah. Pada ketika itu segala yang pahit, masam, busuk akan
terserlah...
Cinta semata-mata tidak akan mampu mempertahankan keharmonian
rumah tangga. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi disempurnakan oleh
tanggung jawab. Cinta itu satu rasa yang bertunjangkan perasaan. Perasaan tanpa
kekuatan jiwa dan kematangan berfikir akan goyah apabila berdepan dengan ujian. "Perasaan" adalah
hamba yang baik tetapi tuan yang sangat buruk. Justeru, jika ingin selamat,
pastikan perasaan "bekerja" untuk kita, bukan sebaliknya.
Akan tiba masanya, sesuatu yang kita lihat indah dahulu tidak
indah lagi kini. Jika kita hanya bergantung kepada perasaan, cinta kita akan
tercalar. Pada ketika itu cinta memerlukan tanggung jawab dan tanggung jawab
menuntut satu kepercayaan. Ketika cinta mula goyah di pentas rumah tangga,
tanggung jawab akan datang menyelamatkan "pertunjukan" dengan
peranan yang lebih berkesan.
Cuba bayangkan, ketika
isterimu hamil, muntah-muntah, rambut kusut dan badannya tidak terjaga lagi
kerana menanggung derita tempoh mengandung, ketika mulutnya mula becok mengasuh
dan mengelolakan anak yang berderet selang setahun, atau ketika suamimu
termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin meningkat atau keceriaannya
semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertali arus...
Bagaimana? Masih berserikah wajah si dia seperti yang kita lihat pada malam
pertama?
Atau lebih menguji lagi apabila umur perkahwinan semakin lanjut
dan kita sudah mencecah usia senja. Pada saat itu darah tinggi, diabetes, tahap kolesterol, obesiti dan
malam-macam penyakit mula bertamu. Mungkin kita selamat, isteri pula yang
menghidapnya. Bagaimana? Sanggupkah kita menjaganya dengan setia? Membawanya ke
hospital memenuhi rutin rawatan, memastikan segala ubat-ubat dimakannya
menepati jadual, atau lebih "ekstrem" lagi terpaksa menyuap makan-minumnya ketika dia sudah terbaring
kesakitan serta menukar kain lampin kerana dia sudah tidak mampu mengurus diri?
Cinta memang hebat, tetapi ia tidak dapat menandingi tanggung-jawab. Cinta yang
hebat ialah cinta yang
ditunjangi tangung jawab. Cinta itu untuk memberi
bukan untuk menerima. Lafaz, "aku
terima nikah," oleh kita sebagai suami
musim lalu bukan bererti kita menerima sebaliknya untuk memberi. Kita memikul
tanggung jawab untuk memberi kasih-sayang, perhatian, pembelaan, didikan dan
segalanya...
Walaupun begitu bagi si
isteri... penerimaan mu sebagai pasangan hidupnya bukan ertinya untuk kau
menerima tetapi untuk memberi – memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan
seluruh jiwa raga mu untuknya. Kau telah membuat satu aku janji yang paling
suci dan tinggi dalam hidup mu, bukan untuk seseketika tetapi untuk
selama-lamanya. Bukan hanya ketika suami mu bertubuh kekar, tetapi sehinggalah
dia terlantar. Bukan hanya ketika rambutnya hitam tersisir rapi, tetapi hingga
rambutnya putih dan mungkin tidak tumbuh-tumbuh lagi!
Itu baru ujian luaran. Belum lagi ujian dalaman yang berbentuk
cemburu, jemu, marah, curiga dan lain-lain "virus" perhubungan. Berapa banyak hubungan yang
terputus atau tinggal nyawa-nyawa ikan kerana hilangnya kepercayaan.
"Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?"
"Tergodakah dia bila di belakangku?"
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.
"Aku cintakannya, tetapi aku curiga apakah dia setia dengan ku?"
"Tergodakah dia bila di belakangku?"
Itulah contoh dialog hati yang merasuk bila ada cinta tetapi kurang ada percaya. Fobia dan trauma ini sering melanda rumah tangga. Ia akan menyebabkan hilang bahagia.
Pernah anda lihat si suami yang "diganggu" panggilan
telefon oleh isterinya setiap selang 15 minit sekali? Aduh rimasnya. Betulkah
itu kerana cinta atau kerana curiga. Pada hal cinta itu membebaskan bukan
mengawal. Jika kita benar cintakan suami atau isteri, dan cinta itu ditunjangi
oleh kepercayaan, kita tidak akan mengawalnya bahkan kita akan membebaskannya.
Terbanglah ke mana kau suka, insya-Allah kau akan kembali jua. Justeru hati
mu... tetap di sini, di hati ku!
Ada si suami yang curi-curi memeriksa "inbox" dan "sent" telefon
bimbit isteri kalau-kalau adaSMS yang mencurigakan? Ada pula isteri yang
menyelongkar setiap inci kereta suami takut-takut ada "kesan-kesan" tinggalan
perempuan lain. Pernah saya dengar ada suami yang memusnahkan segala resit,
bil, surat-surat kecil, dan apa jua dokumen-dokumen picisan dalam poket dan beg
duitnya sebelum pulang ke rumah takut "disoal
siasat" oleh isterinya?
"Ini bil makan, abang
makan dengan siapa?"
"Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?"
"Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?"
"Lain macam sahaja mesranya SMS ini, ada apa-apa ke ni?"
"Eh, banyak yang abang beli ni. Tetapi kenapa nampak sedikit sahaja yang dibawa pulang ke rumah?"
Itulah soalan-soalan isteri yang menyebabkan suami terkial-kial
menjawabnya. Pada suami semua itu remeh temeh, tetapi tidak pada isteri yang
tidak percaya, semua itu boleh dijadikan modal "perang besar". Kalau
si suami disyaki ada di tempat yang tidak sepatutnya ada atau pada waktu yang
tidak sesuai, siap sedialah menghadapi hukuman jika gagal memberikan"alibi"!
Itulah gara-gara sama ada
isteri tidak mempercayai suami atau suami tidak mempercayai isteri atau
kedua-duanya sudah saling tidak mempercayai! Bukan kerana tidak ada cinta
tetapi kerana hadirnya sebuah curiga akibat hilang rasa percaya. Sebab itu
mengikut kajian, penceraian banyak berlaku bukan sahaja pada pasangan yang
sudah kehilangan cinta tetapi pada pasangan yang terlalu cinta.
Tidak percayakan seseorang disebabkan dua faktor. Pertama, kita
belum benar-benar mengenalinya. Kedua, kerana kita telah benar-benar
mengenalinya. Jika disebabkan faktor yang pertama, jalan terbaik ialah
kenalilah pasangan anda dengan lebih mendalam. Berkenalan kali pertama dahulu (seawal usia perkahwinan) adalah
untuk menumbuhkan bibit-bibit cinta. Tetapi perkenalan kali kedua, ketiga dan
seterusnya yakni setelah usia perkahwinan meningkat adalah untuk menyuburkan
bibit-bibit percaya. Adalah salah sekali kalau kita beranggapan yang kita telah
kenal pasangan kita dan terus menghentikan proses perkenalan. Sedangkan proses
perkenalan dalam rumah tangga adalah "on
going" (berterusan) sifatnya.
Kenal itu sangat berkait
dengan rasa cinta. Dan cinta sejati dalam sebuah rumah tangga adalah dibina
atas perkenalan bukan sahaja dengan kebaikan pasangan kita tetapi juga dengan
keburukannya. Ya, kita sanggup menerima bukan sahaja yang indah tetapi juga
yang hodoh pada wajah batin pasangan kita. Keburukannya akan kita cuba
sama-sama atasi dan jika tidak, kita terima seadanya kerana kita sedar kita
berkahwin dengan manusia bukan malaikat.
Kita akan terus
mempercayainya walau apa pun keadaan. Kita mengingatkan bila dia terlupa dan
membantunya sewaktu dia ingat. Jangan sekali-kali hilang kepercayaan. Selagi
kita bertekad meneruskan perkahwinan hingga ke akhir hayat, pupuklah
kepercayaan. Kepercayaan itu akan melahirkan tanggung jawab dan tanggung jawab
adalah oksigen cinta. Oksigen itulah yang akan memberi stamina kepada cinta
untuk terus kembara dari dunia hingga ke syurga.
Jika anda bertanya bagaimana memupuk kepercayaan? Jawabnya,
kembalilah kepada kepercayaan-kepercayaan yang asas dan teras. Apa lagi jika
bukan Rukun Iman? Binalah semua jenis percaya di atas enam kepercayaan itu. Jika
suami dan isteri percayakan Allah, dan sama-sama berpegang kepada kehendak-Nya, maka mereka akan
saling mempercayai antara satu sama lain. Percayalah kepercayaan kepada Allah
itu adalah simpulan yang mengikat kepercayaan sesama manusia.
Sebab itulah kepercayaan juga disebut sebagai akidah – ertinya
simpulan. Simpulan yang mempertautkan segala kebaikan. Ya, kepercayaan kita
kepada Allah akan menyebabkan pasangan kita mempercayai kita.
"Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama."
"Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu..."
"Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama."
"Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu..."
Bila hancur sebuah cinta bererti hancurlah satu kepercayaan. Bila
hancur kepercayaan bererti hancurlah iman. Wahai suami, wahai isteri... sekali
lagi ku tegaskan inilah oksigen cinta. Dan bagi semua yang masih belum mengenal
cinta (antara lelaki dengan wanita), burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai...
itulah dipercayai!
No comments:
Post a Comment